Followers

Syuhada' Melayu

MASYARAKAT Melayu masih ramai belum mengetahui bahawa di Melaka ada beberapa orang tokoh dunia Melayu yang terkorban sebagai syuhada kerana membela kemuliaan Islam dan bangsa Melayu.

Mereka sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi berjuang mengusir penjajah Portugis mahupun Belanda. Di antara sekian ramai yang gugur sebagai syuhada termasuklah seorang ‘ulama’ sufi dunia Melayu yang paling terkenal. Beliau bermakam di Melaka. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang terkorban sebagai syuhada kerana berperang dengan Portugis.

Sejarah yang penting tentang tokoh besar yang syahid fisabilillah di Melaka juga ialah Raja Haji bin Upu Daeng Celak yang terkorban kerana melawan penjajah Belanda. Saya berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel ini.

Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.

Hubungan dengan ulama

Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam ruangan ini, disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau sempat bergaul dengan beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Saiyid Husein al-Qadri di Mempawah, iaitu guru ayah saudaranya Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu. Gusti Jamiril adalah saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan demikian tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya itu, berpengaruh terhadap Raja Haji.

Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar kepada Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah Mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam beliau disebut ‘Keramat Pokok Sena’ terletak di Perkuburan Kampung Pedalaman Mempawah. Hubungan Raja Haji dengan Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga sangat dekat. Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu Daeng Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal itu. Keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan lain-lain.

Gelaran yang disandang

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif ‘Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji ialah sebagai Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.
.
Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama Pangeran Diponegoro, Imam Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan saja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak pengalaman dalam peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar Sulawesi Selatan.

Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang tersebut berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang tewas bersama Raja Haji dianggarkan sekitar 500 orang. Sebagaimana pada mukadimah yang telah saya nyatakan, “... Raja Haji bin Upu Daeng Celak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah....”

Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta yang tidak dapat ditolak. Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti ‘Raja Haji pahlawan dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.’

Kejadian aneh

Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, “Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

“Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya....” (Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)
.
Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang dicintainya. Perjuangan demikian mencerminkan kerana patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja Haji ditanam tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah. Tulisan Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut,

“Sebermula di balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi Melaka pada zaman Holanda – maka adalah daripada zaman itu sampai masa ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:) kira-kira lebih sedikit daripada 60 tahun – maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya. Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina, Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas nama tempatnya. Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu dibawanyalah pergi....” (Hikayat Abdullah, hlm. 57 - 58).
.
Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi adalah sukar diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang ditulis oleh Raja Ali Haji seperti tersebut di atas. Kedua, orang yang wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah dimuliakan oleh Allah s.w.t.. Dalam al-Quran disebutkan bahawa

“orang-orang yang mati syahid adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki.”

Dalam hadis Nabi s.a.w. pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid. Pandangan saya ini bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan pembohongan dalam tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal kalimatnya,

“Ada pun khabarnya yang kudengar”. Oleh itu pelbagai andaian boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar yang didengar itu sengaja diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan penguasa penjajah ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu Islam yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam. Kedua, kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi menulis sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap kalimat dan perkataan yang ditulisnya.

Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis secara bebas, khusus pada konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun perkataan demi perkataan Abdullah Munsyi mengandung unsur-unsur politik yang menguntungkan pihak penjajah pada zamannya. Sebagai contoh, walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji adalah seorang Raja Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi menyebut pula bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di sini dapat diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang Melayu untuk berpihak kepada Raja Haji sukar dipadamkan.

.
Sedutan dari www.ismusurizan.com/
.

Makam Raja Haji
.
Raja Haji-Yang Dipertuan Muda Riau IV-adalah pahlawan Melayu yang amat termashur. Beliau berperang melawan penjajah Belanda sejak berusia muda sampai akhir hayatnya dalam peperangan hebat di Tetuk Ketapang tahun 1784.
.
Raja Haji yang hidup antara tahun 1727-1784 itu telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin, hulubalang dan ulama. Para penulis sejarah mencatat, terutama pada tahun 1782-1784 cukup berpengaruh terhadap stabilitas sosial politik dan ekonomi di wilayah Nusantara dan negeri-negeri Belanda yang sangat tergantung terhadap sumber perekonomiannya di Timur.Pihak Belanda bahkan menganggap bahwa perang yang dipimpin Raja Haji adalah peperangan yang cukup besar dan sempat menggoncangkan kedudukan Belanda di Nusantara. Karena kepahlawanannya itulah, Raja Haji diagungkan masyarakat Melayu, disebut dengan gelar Raja Haji Fisabilillah Marhum Teluk Ketapang. Ketika beliau mangkat dalam peperangan hebat di Teluk Ketapang, jenazahnya kemudian dibawa ke Malaka dan dikebumikan disana. Baru beberapa tahun kemudian jenazah beliau dibawa ke pulau Penyengat dan disemayamkan dalam makam yang terletak di Bukit Selatan pulau Penyengat, bersebelahan dengan makam Habib Syekh, seorang ulama terkemuka di kerajaan Riau-Lingga.
.
Tambahan dari penyusun:
.
Maklumat dari 'Sejarah Kerajaan Melayu Johor-Riau' Buku Malaysia Kita ( INTAN) dalam muka 184 antara lain mencatatkan seperti berikut:
.
Telah berlaku keretakan antara puak-puak Bugis di Riau dan Selangor, Raja Haji dan saudara kepada Raja Lumu ( Sultan Salehudin Selangor) telah dapat memulihkan hubungan ini. Raja Haji berjaya menyatukan mereka dan membentuk pasukan askar yang kuat dari Selangor, Riau dan Rembau untuk berdepan dengan Belanda. Serangan Belanda dapat dipatahkan dan mereka sebaliknya telah mengepung Melaka, Raja Haji mengetuai serangan dari selatan dan anak saudaranya Raja Ibrahim ( Sultan Selangor) dari utara. Belanda cuba mendapatkan sokongan bantuan dari Terengganu dan Kedah tetapi kedua negeri itu sedang sibuk bersiap menangkis serangan Siam. Hanya gerombolan lanun terkenal pimpinan anak saudara Raja Siak yang datang membantu Belanda.
.
Kepungan hampir 5 bulan dalam tahun 1784 itu nyaris menewaskan Belanda. Kedatangan satu skuadron besar kapal perang Belanda pimpinan Jacob Pieter Van Braan dan kemangkatan Raja Haji ( Almarhum Teluk ketapang) telah mengubah segalanya. Belanda berjaya mengusir angkatan pasukan Bugis ini.
.
Dicatatkan bahawa Raja Haji dikatakan mempunyai sifat-sifat yang menarik dan merupakan pengembara berilmu luar biasa ( karamah?). Tahun 1770an dikatakan kemuncak penguasaan anak-anak Bugis. Banyak kawasan seperti Selangor, Perak, Sungai Ujong, Selatan Melaka dan Sumatera Timur di bawah pengawasan Bugis pimpinan Raja Haji ini.
posted by akram @ 5:31 PM 0 comments
Friday, March 31, 2006
As Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood

( Membicarakan syahid sebelum kesyahidannya)
" ..sesuatu yang mesti diingatkan kepada saudara-saudara yang masih hidup lagi sesudah kami para mujahiddin ini bertemu dengan Allah swt di dalam syurga firdaus. Kalau saudara/i masih hidup lagi akan berdosa kepada Allah sekiranya zuriat akan datang akan kencing di atas kubur-kubur saudara kerana saudara hidup tidak mahu berjuang dan berjihad untuk menegakkan kalimah Allah yang Maha Tinggi. Kami para mujahiddin yang sudah mati syahid dan dikuburkan berserta darah-darah merah.. kami berada di syurga dan saudara-saudara tetap berdosa dengan Allah Taala seandainya saudara masih berdiam diri..."
.
Itulah antara ucapan-ucapan jihad dari Assyahid Ibrahim Mahmood atau turut dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya dalam majlis tamrin khusus kepada ahli-ahli Pas Kawasan Baling dalam tahun 1985. Beliau seolah-olah telah mengetahui saat kesyahidannya dan membayangkan telahpun berada di syurga firdaus menikmati penghormatan Tuhannya.
.
" Insyaallah kalau kita dapat mati syahid, inilah suatu kematian yang istimewa dalam dunia ini. Tuan-tuan janganlah cuba melangkah kaki berpaling ke belakang dari perjuangan Islam. Ketika kita melangkah berundur dari musuh kita, ketika kita ditembak mati, dalam hal seperti itu maka kita mati seperti mati katak. Tetapi kalau kita berada dan berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang menyekat pergerakan Islam, maka kita akan mencapai mati syahid.."
.
" Orang-orang yang mati syahid ini, tulang temulangnya serta kulit mereka tidak reput untuk selama-lamanya. Mereka tinggal di bawah tanah serta semerbak harum bau mereka. Sesungguhnya orang yang mati syahid adalah orang-orang yang duduk setaraf atau satu saf dengan penghulu para syuhada, Syaidina Hamzah bapa saudara Rasulullah Saw yang gugur syahid di medan pertempuran Uhud bersama 70 orang para syuhada Uhud. Orang-orang yang mati syahid tidak dihisap dan ditimbang menimbang akan dosa dan pahala mereka di padang Mahsyar kelak. Mereka terus masuk syurga dengan izin Allah. Malah mereka dapat pula memberi berkat kesyahidannya itu kepada 70 orang sahabat handai dan saudara mereka untuk memasuki syurga firdaus Allah SWT di akhirat"
.
"..Mereka ini akhirnya apabila mati dalam hal itu dinamakan mati syahid yang telah diambil mereka itu akan dibawa ke dalam syurga Firdaus menjadi burung-burung hijau dan memakan makanan-makanan syurga sejak daripada mula malam mereka gugur syahid itu atau siangnya tanpa ditanya atau dipersoalkan lagi.."
.
Siapa Assyahid Ibrahim Mahmood?
.
Sebelum tragedi itu, namanya kurang dikenali ahli Pas kerana Assyahid lebih aktif di Negeri Kedah sahaja. Apabila mendengar warta berita malam itu dan kejayaan pihak keselamatan dalam operasi membenteras kumpulan ajaran sesat, penyusun terbungkam dengan pertanyaan 'siapa pula penjenayah' ini kerana terlihat kaum wanita bertudung labuh hitam dan berkopiah putih di kaca TV. Sebelum itu penyusun turut ada pengalaman diserbu pihak keselamatan ketika duduk mendengar ceramah politik di Kuala Lumpur. Memang kecut perut juga bila diserbu begitu dengan silauan lampu kamera dan tubuh-tubuh gempal menerpa ketika kami asyik mendengar syarahan pimpinan.
.
Keesokan harinya, media-media masa negara bertali arus memaparkan kejadian berdarah tersebut dan itulah kali pertama penyusun mengenali nama Ibrahim Libya dan Memali. Tanda persoalan bertambah kusut apabila melihat bendera bulan di pagar rumah mangsa. Sebilangan sahabat-sahabat turut bingung dan berhati-hati untuk mengulas kejadian tersebut. Pihak yang tidak menggemari kerja-kerja dakwah turut menunding jari kepada ahli-ahli Pas kerana terpengaruh tuduhan tragedi itu berlaku kerana angkara puak pelampau agama, pendakwah dan ajaran sesat. Penyusun masih ingat betapa sukarnya rakan-rakan yang aktif dalam kerja dakwah di pejabat berdepan dengan rakan-rakan sekerja yang masih 'happy go lucky' dan ada muslimat yang bertudung didiskriminasi dan dimalukan.
.
Beberapa hari berikutnya, satu perhimpunan untuk mendengar taklimat pimpinan telah diadakan di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar. Waktu itu, bangunan markaz masih kecil dan dalam pembinaan. Kami berasak-asak dalam dewan yang kecil dan penyusun duduk betul-betul di tepi rostrum penceramah. Apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berucap menjelaskan keadaan sebenar tragedi itu, hati begitu diruntun sayu dan bila beliau terhenti berucap dan tersedu, tanpa sedar airmata pun jatuh berderai. Penyusun melihat hampir kesemua hadirin turut menangis sehingga ada terdengar suara tangisan lelaki agak kuat. Antara yang penyusun melihat mengesat airmata ialah Ustaz Nakhaei Hj Ahmad Naib Yang Dipertua Agong Pas ( sebelum berpaling meninggalkan jamaah) kerana penyusun duduk bersebelahan beliau.
.
Di majlis tergempar itulah penyusun mendapat maklumat sebenarnya. Apa yang dipaparkan oleh media utama negara cukup bercanggah dengan taklimat pimpinan Pas. Tragedi itu betul-betul menjadi isu besar kepada negara dan paling memilukan dalam perjuangan Pas. Berbulan-bulan media masa melaporkan haru-biru ini dan hampir kesemua pihak lawan menyalahkan assyahid Ibrahim Mahmood dan pengikutnya kerana dianggap penjenayah, mengamal ajaran sesat, pelampau, bughah dan sebagainya. Sebelum itu, kami nyaris termakan pembohongan bila ditunjukkan ada gambar pengikut tersebut memakai tangkal di pinggang dan meminum air yasin dalam kolam untuk kebalkan diri.
.
Majlis Fatwa samada peringkat Kebangsaan atau Kedah diarahkan menyiasat perkara tersebut, apatah lagi bila ahli-ahli Pas mendakwa mereka adalah para syuhada berdasarkan matlamat perjuangan dan tanda-tanda kesyahidan pada batang tubuh mereka. Penyusun kira pihak berkenaan juga panas miang dan terdesak untuk menyakinkan rakyat bahawa para syuhada itu golongan subersif, sesat dan membahayakan negara. Mereka ( pimpinan politik) ada yang tidak sabar mengeluarkan kenyataan sebelum siasatan majlis fatwa. Sebagaimana yang dijangkakan maka fatwa mengatakan mangsa-mangsa di Memali adalah 'bughah' dan tidak syahid ma'rakah, iaitu bukan syahid perang menentang golongan yang menentang pergerakan Islam. Antara ulama rasmi yang ditugaskan menyiasatnya ialah seorang mufti dan beberapa hari kemudiannya terpampang pula dalam akhbar beliau meninggal dunia secara mengejut.
.
Mimpi
.
Dalam suasana muram itu, kami mendapat berita terkini oleh pihak tertentu bahawa ada seorang Tuan Guru Pondok di Kedah telah bermimpi bertemu assyahid. Almarhum kononnya memberitahu 'tunggulah seratus hari' maka kami pun tertunggu-tunggulah hari tersebut. Penyusun melakarkan kisah ini hanyalah untuk mengimbas kembali situasi gawat waktu itu dan kesimpatian kami yang mendalam terhadap para sahabat yang telah mendahului kami dalam perjuangan ini. Ironisnya, saban hari membelek bilangan hari di kalendar hingga hari ke seratus.. tidak pulak kami melihat sebarang tanda perubahan. Maha suci Allah yang menguasai alam ini, apakala tersibar berita gempar dalam negeri tentang surat perletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, sesalinan surat perletakan jawatan yang tersibar luas itu tercatat tarikh 'bertepatan' hari keseratus mengikut kalendar hijrah. Lagi sekali airmata penyusun berlinangan tanpa malu mengenang kebobrokan manusia yang hilang kewarasan demi menyahut kebatilan.
.
Teringatlah penyusun akan kata-kata Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis taklimat selepas tragedi itu:
.
" Apabila engkau melihat umatku takut untuk berdepan dengan orang-orang yang zalim dan berkata kepada orang-orang yang zalim itu, wahai si zalim! ( tidak berani mengatakan zalim kepada mereka) maka diterimalah ucapan selamat tinggal daripadanya" - hadith riwayat Imam Ahmad.
.
"Dalam satu riwayat yang lain, maka perut bumi lebih baik dari atasnya. Suatu amanat dari Rasulullah saw yang menjadi pegangan teguh kepada kita.. "
.
Pada kesempatan yang lain pula, penyusun menghadirkan diri dalam kuliah bulanan almarhum Ustaz Dato' Fadhil Noor, Presiden Pas di Masjid Ar Rahman, Kuala Lumpur. Di sana secara tidak langsung almarhum telah meriwayatkan kisah seorang sahabat Nabi saw yang bertekad untuk mati syahid dalam suatu peperangan, beliau telah melilitkan sehelai kain merah dan terus ke medan perang untuk syahid. Ini memutarkan ingatan penyusun kepada dakwaan yang mengatakan ada pengikut assyahid Ibrahim Mahmood memakai tangkal kain di perutnya sebagai tangkal kebal( baca perenggan kesembilan di atas). Jelas betapa kekeliruan dan kejahilan jika kita tidak mengkaji perjalanan sirah Nabi sehingga apa yang tersimpul dalam benak kepala itu rupa-rupanya sudah terjawab di zaman Rasulullah saw sendiri.
.
Kemudian, apabila berlaku pergeseran antara dua pihak dalam UMNO sehingga terbentuknya 2 team dan berakhir pula kepada pengharaman parti kebangsaan tersebut. Lagi sekali media masa tanpa sedar memaparkan perang mulut kalangan mereka hingga saling tuduh menuduh punca angkara tragedi berdarah itu. Akhirnya, ahli-ahli Pas khususnya termaklumlah akan siapa banjingan utama dalam kejadian tersebut dan siapa pula pihak yang menjulang panji kebenaran. Mereka membuka pekung sendiri dan tidak mustahil percikan darah syuhada itu telah mengenai pakaian orang-orang memfitnah para syuhada tersebut.
.
Biografi Asy Syahid
.
Ustaz Ibrahim Mahmood dilahirkan dalam tahun 1944 di Kampung Memali, Baling ketika masih dalam zaman pendudukan tentera Jepun. Baling adalah sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman, sebelum ini terkenal sebagai daerah termiskin dan retetannya para petani yang disokong oleh para mahasiswa negara pernah mengadakan demotrasi terbesar di awal tahun 1970an. Di sana jugalah terjadinya perundingan antara pentadbiran kerajaan Tanah Melayu dengan pimpinan parti kominis Malaya pimpinan Ching Peng.
.
Ketika penyusun sempat bertugas di pekan Baling ini beberapa tahun lalu, penyusun dapati pembangunan daerah ini agak perlahan tetapi tidaklah seteruk dalam gambaran pemikiran sebelum menjejakkan kaki ke sana. Keperitan hidup petani mungkin tidak menyamai kepedihan luka-luka peninggalan tragedi berdarah yang ditanggung oleh waris peninggalan para syuhada dan mereka yang cedera. Cemuhan dan lebel sebagai keluarga pengkhianat negara sudah cukup membekas dalam sanubari. Pihak yang tidak menyenangi assyahid di Memali masih menaruh syak wasangka bahawa mereka 'tidak syahid' dan terus menyakininya.
.
Berdasarkan latar belakang pendidikan dan kerjayanya, terbukti assyahid mendapat pendidikan yang terbaik. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Poko Sena. Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadith. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir. Lepas itu menamatkan pengajiannya di Libya pula.
.
Bertugas di Jabatan Perdana Menteri
.
Dalam buku kisah perjuangannya, dinyatakan bahawa assyahid kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.
.
Membina Madrasah
( sambungan kisah ini akan diteruskan setelah penyusun menemubual adik assyahid iaitu Ust. Ismail Mahmood, beliau juga turut tercedera dalam tragedi tersebut)
posted by akram @ 12:15 AM 5 comments
Monday, March 27, 2006
As Syahid Fauzi Ismail
Pendahuluan
.
Firman Allah yang bermaksud:
.
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang untuk jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh" At Taubah:111
.
Tahun 1980an banyak merakamkan peristiwa penumpahan darah para syuhada tanahair ini sebagaimana yang dicatatkan di Memali dan Lubuk Merbau. Dalam pada itu, ribuan para mujahiddin bermandikan keringat dan darah di Afghanistan, Chechnya, Iran, Arakan, Moro, Kashmir, Pattani, penyembelihan di Tanjung Periuk dan bumi Aceh di Indonesia.
.
Di medan pertempuran bumi Afghanistan, ramai pula anak bangsa kita turut berjuang atas nama agama. Di antaranya ada dua anak Melayu yang telah diterima dagangnya oleh Al Khaliq. Salah seorang darinya ialah Assyahid Fauzi Ismail. Bagi mengenang gugurnya putera Melayu itu maka saya muat-turunkan selingkar kisah dari buku 'Dagangnya Diterima Allah' tulisan saudara C.N Al Afghani untuk tatapan pengunjung laman web ini.
.
Latar Belakang Assyahid
.
Fauzi Ismail ialah anak kampung Kelut dalam Pokok Sena, Kedah. Dilahirkan dalam pada 1 September 1962, anak muda yang periang dan kental dengan semangat perjuangan ini merupakan pemuda PAS yang istiqomah mempertahankan tapak pusat pengajian Muassasah Darul Ulum iaitu projek terbesar PAS Kedah dalam tahun 1987. Muassasah ini terletak di Batu 14 1/2 Jalan Kuala Nerang berkeluasan lebih kurang 48 relung. Apabila berlaku rampasan sebahagian tanah tapak projek oleh pihak berkuasa, ratusan pemuda telah menawarkan diri untuk mengawal muassasah tersebut. Assyahid antara pemuda yang sanggup berjaga malam di sana.
.
Miskipun tidak mempunyai pendidikan asas agama yang mendalam tetapi semangat untuk menghayati perjuangan agama begitu kental. Sebelah siangnya beliau membuka kedai runcit di kampung dan malam pula dipenuhi dengan aktiviti keagamaan seperti mengaji al Quran, mengikut kuliah pengajian agama dan berusrah di tapak muassasah itu. Bermalam di sana memang mencabar kerana bertemankan nyamuk dan kedinginan malam. Mereka juga melibatkan diri dalam kerja sosial di kawasan setempat.
.
Fitnah
.
Penglibatan pemuda-pemuda di Muassasah tersebut rupanya kurang disenangi oleh banyak pihak samada pihak luar maupun veteran-veteran PAS sendiri. Ekoran dari itu pihak berkuasa tempatan telah mengawasi mereka, lebih-lebih lagi bila aktiviti seni pertahanan diri diamalkan di sana. Guru silat mereka telah dilucutkan tauliah mengajar gara-gara tekanan pihak tertentu. Tekanan banyak pihak ini benar-benar mencabar mereka untuk bermujahadah di jalan Allah.
.
Berjihad
.
Idea untuk berjihad bersama mujahiddin di bumi Afghanistan tercetus selepas menyaksikan kekejaman kaum kuffar menzalimi saudara-saudara seagama di sana. Ekoran dari itu mereka bersepakat untuk mewakafkan diri sebagai anggota mujahiddin. Setelah bersusah payah mencari wang perbelanjaan untuk pergi ke bumi yang sedang bergelora itu, akhirnya sebilangan anak muda dari tapak muassasah ini berjaya menyertai lain-lain sukarelawan perang jihad dari berbagai negara.
.
Dagangnya dibeli Allah
.
Assyahid dan rakan-rakannya berpeluang kali pertama melawat kem musuh dan bandar Argoon yang telah menjadi padang jarak padang terkukur ditawan oleh mujahiddin. Bangkai musuh masih terbiar di jalanan tetapi keadaan cuaca yang begitu sejuk di sana menyebabkan bangkai tersebut tidak busuk. Berjuang di sini begitu mencabar ketika di musim sejuk kerana kedinginannya begitu mencengkam hingga ke tulang hitam.
.
Di Khemah, mereka berkawal dan bertugas mengikut jadual. Berpuasa sunat, sholat malam dan latihan jasmani dilakukan. Suatu pagi, dikisahkan assyahid ini bangun mandi sedangkan waktu itu musim sejuk. Rupa-rupanya beliau telah berhadas kerana malamnya bermimpi didatangi bidadari. Dikatakan bahawa bermimpi bidadari di kalangan mujahiddin adalah perkara biasa dan kebanyakannya mereka inilah yang akan terpilih sebagai syuhada dan berpeluang menghampiri bidadari.
.
Dimaklumkan setelah pasukan mujahiddin berjaya menawan daerah Khost, mereka telah pergi ke wilayah Jalalabad untuk bergabung dengan mujahiddin Arab di sana. Beliau telah diarahkan menjaga kubu di atas bukit yang sederhana tingginya di waktu malam. Bertemankan seorang rakan dari bangsa Arab, mereka mengawal kubu tersebut dan kawasan itu memang kerap disinggah peluru musuh. Telah ramai pula yang menemui syahid di bukit itu.
.
Memang sudah ditakdirkan antara ratusan biji bom dari kereta kebal musuh itu, ada peruntukan oleh Allah untuk assyahid Fauzi Ismail. Dengan gugurnya ledakan bom itu, berterbanganlah bidadari dari syurga Firdaus menyambut assyahid. Janji Allah itu benar, mimpi beliau sebelum ini memang menjadi kenyataan. Allah telah membayar nyawanya dengan keharuman kasturi dan bidadari yang serba suci. Anak muda itu syahid pada 28 Julai 1989. Allahu Akbar!!
.
Tanda Kesyahidan
.
Assyahid Fauzi gugur di kubu itu dan rakannya yang parah dibawa turun untuk mendapat rawatan. Walaupun hampir 10 jam jenazah beliau berada di atas bukit itu, darah merah masih segar bugar dan panas mengalir.
.
" Jangan kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki" - Ali Imran 169.
.
Manakala ibu-bapanya di kampung pula, telah dipertemukan Allah dengan anak lelaki mereka bergelar syuhada itu melalui alam mimpi. Mimpi mereka lebih mendahului berita dari manusia. Wajah anak mereka tersenyum sayang dengan berjubah dan berserban merah. Mengertilah mereka bahawa dagang anaknya telah dibeli Allah dan tentunya mereka juga akan mendapat imbuhan dari pelaburan yang termahal ini. Apabila ditanya kepada bapanya akan anaknya itu, beliau menjawab:
.
" Dia tak mahu dunia. Dia tinggalkan kedai dan motornya untuk cari akhirat. Sekarang dia dah dapat... saya bersyukur."
Nota:
Terima kasih dan jazakumul'Lah Khairan kathira kepada C.N Al Afghani kerana membukukan kisah perjuangan ini. Semoga Allah memberi ganjaran dan rahmat kepada saudara. Bersabarlah dalam merintis onak dan duri tribulasi ini. Amin.

1 comment:

Berkongsi Bersama Saif said...

Assalam admin.
kat mana bole saya dapatkan buku ni?